Pages

Followers

Tuesday, April 28, 2009

MEE BASAH

Salam kembali
Agak lama akak tidak update blog akak ni. Alasannya macam biasalahhhh..BZ dan badan kurang sihat. Balik dari kerja masak sikit untuk anak,rehat kejap sambil menonton Tv,bukak sekejap komputer.. terus tidurr........Rasanya tahun ni cukup pantas berlalu,pejam celik pejam celik dah nak masuk bulan Mei. Hujung bulan Ogos nanti( minggu ke 3 ) dah nak jumpa puasa pulak. Cuma akak nak tanya adik2 dah habis ke ganti puasa tahun lepas? kalau belum tu cepat2 lah ganti. Akak? akak beres....jangan risau..

Kali ni akak nak share pengalaman buat mee sendiri. Dulu ikut resepi dalam kotak mesin mee yang diperbuat dari plastik ke ape namanya tu...tepung + telur. Apa jadi bila diproses?? mesin tu tak nak dok diam..tak kuat cengkamannya, apa lagi lengan akak ni sakit2 mengerjakannya. Akak fed up bercampur gerammm..mee tu dimasak jugak tapi sikit keras dan tak cantik.

Akak tak puas hati, lalu beli mesin mee yang baru yang dibuat dari besi. Dulu akak ade mesin ni, tapi bila dah pindah, tak tau ke mana.Cuma akak jumpa pemutarnya ajee..bodynya entah ke mana. Dulu akak cuba buat jugak mee bersama kakak ke dua akak. Tapi bila cari air abu, tak ade..maka hajat nak buat mee tu terbantut..Akak fikir kalau air abu tu diganti dengan kapor makan, ok jugak kottt..kebetulan akak ziarah Fp Hajar dulu2 tu, akak tengok mee buatan Hajar ditaruk kapor makan. Tu yang datang balik rajinnya tu nak buat mee sendiri.

Mee buatan akak.

~ tepung gandum, air, sikit garam, sikit kapor makan~ diuli sehingga tepung tidak melekat di tangan. Ambil sikit adunan bulat2kan dan dimesin tanpa 'bunga' ( flat ). Alihkan pemutar ke ruangan 'bunga' pilih samada untuk tebal atau bulat.
~Panaskan kukusan dan ditiskan minyak ke dalamnya. Rebus mee tadi hingga timbul dan angkat. Lumurkan dengan sedikit minyak.Siap



Bila dah jadi mee ni, anak akak minta akak buatkan mee hailam. Tapi akak buat style lain. Mee tu dimasak bersama kicap soto ( bwg putih, Bawang Besar dan cili dihiris + kicap pekat, gula,garam dan air limau nipis ~ dibiarkan 1 malam atau lebih )Mee bertukar kalor hitam. Tengok bahan-bahan yang lain:~

MEE BASAH

Mee kuning buatan sendiri/yang dibeli pun boleh gak ( dimasak bersama kicap soto)Angkat dan ketepikan
2 batang sawi- dipotong
kobis
fish ball
fish cake
pelbagai tau fu ( masuk aje la tau fu ape pun )
cendawan enoki
Udang
Daging
garam
gula
minyak untuk menumis
kicap pekat
sos tomato
sos cili
1 sudu serbuk lada hitam
sedikit air
sedikit tepung jagung untuk pekatkan kuah

BAHAN KISAR
7 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
6 biji cili kering. Kalau nak pedas lagi boleh ditambah.

Cara:
1. Tumis bahan kisar hingga wangi dan sikit garing
2. Masukkan daging, udang, fish ball, fish cake dan tau fu dan dikacau sebentar
3. masukkan sikit air, kicap, kedua sos, garam, gula dan biarkan daging empuk.
4. Masukkan serbuk lada hitam, sawi, kobis dan enoki. Kacau sebentar sehingga sayur layu.
5. Masukkan mee. Kacau. Jika sekiranya kering, masukkan sedikit air lagi. Biarkan sebentar, baru masukkan sedikit bancuhan tepung jagung. Kacau hingga rata. Angkat dan hidangkan.


MEE BASAH

Friday, April 17, 2009

Simple Chocolate Cupcakes





Salam Buat Semua

Teruja dengan cupcakes dari blog hajar dan mamafami, akak terus buat eksperimen. memang tak rugi dicuba. Terima kasih pada Mak Lang yang sudi share resepi ni. Memang mudah dan pantas dan amat sesuai untuk yang bekerja macam akak niii....






Simple Chocolate Cupcakes
Sumber : Maklang

Bahan-bahan A (diayak)

2 cwn tepung serbaguna/tepung gandum
1 cwn serbuk koko
2 tsp baking powder
2 tsp soda bikarbonate
3 tsp serbuk instant nescafe
Secubit garam halus

Bahan-bahan B :

2 cwn gula castor
1 cwn minyak jagung/minyak masak
1 cwn susu cair
3 biji telur

Bahan C :

3/4 cwn air panas

1. Di dalam mangkuk pengadun, campurkan semua bahan A.
2. Di dalam bekas lain, campurkan semua bahan B dan pukul sebati.
3. Putar bahan A perlahan2 sambil dimasukkan bahan B sedikit demi sedikit sambil terus memutar. Lajukan putaran sehingga semua sebati.
4. Tuangkan air panas dan putar sebati.
5. Isikan ke dalam paperliners atau souffler.
6. Bakar pada suhu 175 C selama 20min-25min bergantung kpd oven masing-masing.

Deco kek
choklat putih
paste strawberry
buah strawberry

Coklat putih dicairkan dengan cara double boil. Masukkan sikit paste strawberry.
Sapukan sikit di bahagian tengah kek dan letakkan buah strawberry yang dibelah dua di tengah2nya.

AWARD DARI AISYAH ARIFFIN FROM JAPAN


Terima kasih atas anugerah award yang cantik sangat ni untuk akak. Moga ia menjadi kenangan yang pasti kekal di hati sanubari ini.

Monday, April 13, 2009

DAGING MASAK LADA HITAM BERSAMA KANGKUNG




Bahan-bahan
1 kg daging - dipotong besar dan dihiris nipis
1 ikat kangkung - dipotong
sos tiram pedas
sos tiram masam manis
kicap pekat
Sedikit serbuk secubit rasa maggi
minyak untuk menumis
garam secukup rasa - tak masukkan pun tak ape sebab dah masuk kicap
sedikit gula
1 sudu kecil serbuk lada hitam
sedikit air untuk melembutkan daging

Bahan Hiris
1 labu bawang besar
2 biji cili merah
5 ulas bawang putih

Cara:
1. Tumis bahan hiris hingga bangkit bau dan sikit garing
2. Masukkan daging, gaul bersama bahan tumis
3. Masukkan sedikit air sekadar untuk melembutkan daging.
4. Bila daging lembut, masukkan kicap, sos-sos tiram, secubit rasa maggi dan serbuk lada hitam. Gaul sebati
5. Biarkan kuah sikit pekat baru masukkan kangkung.
6. Bila kangkung layu, angkat dan hidangkan

SPLIT BANANA DAN DRAGON


Yang ni split banana & dragon fruit angah dan split dragon fruit ayie. Macam2 dia orang ni. Kebetulan masa pegi ambik result angah beli dragon fruit ni. Banana/pisang ni memang dah ade kat rumah. dok cadang nak buat kek pisang. Entah bila agaknyaaa.
Untuk split banana & dragon fruit ni, just potong pisang dan dragon fruit ikut suka, letakakan dalam mangkuk , curahkan ais krim dan taburlah dengan manik2 gula atau ape saja untuk hiasan

ROSEL SUSU


Ni pulak rozel susu. Buah rozel masih ade lagi sikit. Akak buatkan jus rozel ( rozel dimasak bersama air sehingga mendidih.) Masa nak makan tu, terlintas di kepala nak campurkan dengan susu pekat. Nak tengok ape hasilnya pulakkk. Tuang punya tuang rupanya dah bertukar kalor pulak. Jadi macam kalor keladi. Kira orait juga rasanya. . Jom laayaaan

ROSEL SUSU

BAHAN

Jus rozel
susu pekat
ketulan ais

Campurkan jus rozel dengan susu dan masukkan ketulan ais. Kalau nak buat slurpy seperti biasala
blend rozel susu dengan beberapa ketulan ais. Siap.

CENCARU SUMBAT




BAHAN

6 ekor cencaru~dibelah bahagian belakang. Bersihkan
Garam
1/2 biji kelapa~ditumbuk/diblend separuh hancur
Limau nipis untuk perahan
Minyak untuk menggoreng

Bahan kisar
4 ulas bawang putih
4 ulas bawang merah
sejemput udang kering
3 biji cili merah
8 biji cili api

Cara:
1. Ikan dilumur dengan garam di bahagian kulit luarnya
2. Campurkan bahan kisar dengan kelapa dan dibubuh sedikit garam dan perahan air limau nipis. Gaul biar sebati
3. Sumbatkan sambal kelapa ke dalam ikan di bahagian belah belakangnya
4. Panaskan minyak, goreng ikan sehingga kulit luarnya nampak garing.
5. Angkat dan hidangkan segera.
6. Untuk hiasan, letakkan hirisan limau nipis, daun saderi dan daun DILL

MASAK ASAM DAGING




BAHAN
1 kg daging~dihiris nipis
1 kuntum bunga kantan
Daun kesom
1 1/2 sudu ekstrak asam jawa dibancuh dengan sedikit air, Boleh tambah jika kurang masam
sejemput halba
2 sudu serbuk ketumbar
2 sudu serbuk jintan manis
2 sudu serbuk jintan putih
6 helai daun limau purut
minyak untuk menumis
garam secukup rasa
1 sudu gula

Pes Rempah, dikisar
1 1/2 in halia
4 batang serai~dihiris halus
1 1/2 in lengkuas
3 ulas bawang putih
4 ulas bawang merah
10-15 biji cili kering~ boleh tambah untuk lebih pedas
2 biji cili merah
1/3 keping belacan

Cara:
1. Panaskan minyak, tumis pes rempah, serbuk ketumbar, serbuk jintan manis, serbuk jintan putih, halba, daun limau purut dan garam sehingga garing.
2. Masukkan daging, gaul biar rata,(Kalau terlalu kering boleh tambahkan sedikit air tak sampai 1/2 cawan) dan direnehkan sebentar sehingga naik minyak.
3. Masukkan air secukupnya (biar tenggelam daging tersebut) masak sehingga mendidih.
4. Masukkan bunga kantan, air asam jawa, daun kesom dan gula. Renehkan sehingga daging empuk atau kuah sedikit pekat.
5. Rasai garamnya dan angkat.
6. Sesuai dimakan dengan nasi atau roti canai.

SIAKAP PERCIK MERAH



Bahan
1/2 bahagian ikan siakap~aye ambik bahagian ekor
RM1.00 santan pekat
1 keping asam keping
garam
gula
sedikit air

Bahan kisar
15 biji cili kering~dipotong dan direndam dengan air panas
2 ulas bawang putih
4 ulas bawang merah
3 batang serai ~dihiris terlebih dahulu
1 1/2 inci halia

Cara:
1. Masukkan santan pekat, sedikit air dan bahan kisar ke dalam kuali.
2. dikacau2 selalu supaya kuah tidak berketul
3. masukkan asam keping, garam dan gula dan direnehkan sebentar
4. Bila sudah pekat dan naik minyak, angkat.
5. Ikan dibersihkan dan dikelar kemudian dibakar
6. Bila ikan sudah masak, lumurkan kuah percik ke atasnya dan dibakar seketika.
7. Angkat dan curahkan kuah percik ke atas tadi. Siap untuk dimakan.

SIAKAP MASAM MANIS ASAM BOI




Bahan

1 bahagian siakap~ aye ambik bhg kepala
cili sos
tomato sos
2 biji asam boi~dibasuh dan direndam dengan sedikit air panas
garam secukup rasa
gula
2 keping potongan nenas~dipotong kecil( aye rebus+kunyit ~diperah sikit airnya)
minyak untuk menggoreng
sedikit tepung beras
sedikit kapur makan
sedikit serbuk kunyit
1 biji tomato~ dibelah 4



Bahan hiris
4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
4 biji cili merah

Cara:
1. Ikan siakap dibersihkan dan dilumur garam kunyit.
2. Sediakan tepung beras+air kapur. Pekat seperti bancuhan goreng pisang
3. Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali
4. Celup ikan ke dalam bancuhan tepung dan dirikan dia bila menggoreng
5. Bila ikan sudah garing angkat dan letakkan di dalam pinggan hidangan
6. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali. Tumiskan sebentar bahan hiris
7. Masukkan sos tomato. sos cili, potongan nenas,asam boi bersama airnya sekali, sedikit garam dan gula . Kacau dan renehkan sebentar. Matikan api
8. Masukkan tomato. Angkat. Tuangkan ke atas ikan gorengan tadi. Siap.Untuk hiasn bolehlah diletakkan tomato yang dihiris bulat.

SAMBAL SOTONG BERSAMA BELIMBING




Bahan
1 ekor sotong rendam~dihiris kecil secara memanjang
20 biji belimbing buluh kuning~dia tak berapa masam berbanding yang hijau.Boleh digantikan dengan belimbing hijau.
1 keping asam keping ( aye masukkan sebab belimbing tak berapa masam)
1 labu bawang besar~dihiris
Garam secukup rasa
2 sudu gula
Minyak untuk menumis
Sedikit air

Bahan Kisar
15 biji cili kering
5 ulas bawang putih
6 ulas bawang merah
1/2 labu bawang besar

Cara:
1. Rebus sotong rendam hingga lembut dan toskan. Ketepikan
2. Tumis bahan kisar dan asam keping sehingga garing
3. Masukkan sedikit air, sotong dan belimbing. Kacau rata. Biarkan mendidih
4. Masukkan garam dan gula. Dikacau-kacau dan biarkan seketika.
5. Bila sudah hampir kering, bolehlah diangkat dan dihidangkan.

GULAI BEREMPAH PERUT BERSAMA NENAS




Bahan

Perut- dihiris dan dibersihkan
santan dari sebiji kelapa
garam secukup rasa
sedikit gula
sebiji nenas-dipotong dadu dan dimasak bersama kunyit.
1 keping asam keping

Bahan Kisar
7 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
2 sudu ketumbar biji
10 biji cili kering
3 batang serai
1 1/2 inci lengkuas
1 1/2 inci kunyit ( boleh guna serbuk)
2 sudu serbuk jintan manis
2 sudu serbuk jintan putih

Cara:

1. Masak potongan nenas + air+kunyit hingga masak. Perahkan nenas dan ketepikan.
2. Rebus perut bersama bahan kisar dan air secukupnya sehingga lembut.
3. Masukkan santan ke dalam rebusan perut tadi.
4. Masukkan nenas, garam dan sedikit gula. Kacau sebati
5. Perlahankan api dan biarkan kuah pecah minyak/naik minyak.
6. Rasai garamnya dan angkat.

Sunday, April 12, 2009

SUP BURUNG PUYUH ALA THAI




BAHAN-BAHAN
6 ekor burung puyuh~dipotong dua bahagian
1 bunjut sup tulang
2 inci kulit kayu manis
2 biji pelaga hindi
3 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
1 pelepah batang saderi~dipotong nipis
2 labu bawang besar~dibelah empat
3 biji tomato~dibelah empat
9 biji cili api thai~diracik( boleh kurangkan dan boleh ditambah)
Air secukupnya
Garam secukup rasa

Bahan Hiris/Racik

5 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
2 inci halia
2 inci lengkuas

Untuk hiasan
daun saderi~diracik
daun bawang~diracik
cili api~diracik
Bawang goreng.
Limau nipis


Cara membuatnya

1. Tumis sekejap perkakas kasar( kayu manis, pelaga hindi, bunga cengkih dan bunga lawang) dan sup bunjut. Masukkan bahan hiris dan tumis sehingga garing.
2. Masukkan air secukupnya dan biarkan kuah mendidih selama 10 minit.
3. Masukkan burung puyuh, dikacau dan biarkan sehingga burung puyuh masak
4. Masukkan saderi, bawang besar, tomato dan garam. Kacau seketika. Angkat dan hidangkan
5. Taburkan daun bawang, daun saderi,bawang goreng dan perahkan asam limau sebelum dimakan.

LIDAH LEMBU GORENG BERKICAP




Bahan-bahannya

Lidah lembu
Kicap pekat
Sedikit minyak masak untuk menumis

Bahan Hiris
4 Ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
3 biji cili hidup ( hubby guna cili hijau kelantan)
1 biji tomato sederhana masak
1 labu bawang besar

Untuk rebusan lidah
4 ulas bawang putih ~diketuk
sedikit garam
Air untuk merebus



Cara Membuatnya

1. Lidah lembu dibersihkan dan direbus bersama bawang putih dan sedikit garam sehingga masak. Kemudian dikupas kulitnya. Satu cara yang lain ialah lidah lembu dicelup ke dalam air panas sebentar dan dibuang kulitnya kemudian direbus bersama bawang putih tersebut sehingga masak.
2. Hiris lidah tersebut nipis-nipis dan dan digoreng sebentar dengan sedikit minyak.
3. Masukkan bawang merah, bawang putih, cili hijau dan dikacau sehingga bawang sedikit garing.
4. Masukkan kicap dan dikacau lagi.
5. Akhirnya masukkan tomato. Kacau balikkan sekejap, rasai garamnya (kalau kurang masin boleh ditambah sedikit garam atau kicap) angkat dan hidangkan.

Saturday, April 11, 2009

CENDAWAN GORENG



Bahan-bahan
Cendawan paha ayam ( king mushroom)
serbuk lada hitam
minyak untuk menggoreng
sos cili

Cara
1. Goreng cendawan sehingga lembut dan layu. Angkat
2. Taburkan serbuk lada hitam ke atas cendawan tadi. ( tak nak letak pun tak ape )
3. Curahkan sedikit sos cili. Makan begitu aje.

PENGAT SURI



Bahan
Ubi kayu kuning, ubi kayu putih dan ubi keledek purple~dipotong dadu
Santan dari sebiji kelapa
Gula secukupnya
Daun pandan~dicarik2 dan disimpul
sedikit garam

Cara
1. Panaskan santan, masukkan daun pandan dan ubi kayu kuning dan putih. Biarkan mendidih.
2. Masukkan ubi keledek dan biarkan seketika
3. Akhirnya masukkan gula dan garam. Kacau sebati dan angkat. Hidangkan

KERABU AYAM IDAMAN



Bahan-bahan
1 ketul Isi ayam, 3 atau 4 kaki ayam,( bagi yang tak suka makan kaki ayam tak masuk pun tak ape) 1 mempedal ayam~direbus
1 ekor Ikan kembung/ 1 potong tongkol ~direbus dan ditumbuk hancur
Mangga muda~disagat
Betik mengkal~disagat
1 biji kelapa, 1/2 dibuat kerisek dan 1/2 lagi diambil santan pekat
Garam secukup rasa
Air rebusan ayam (stok ayam)

Bahan tumbuk
5 atau 6 biji lada hitam
4 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih

Cara
1. Ayam yang direbus dipotong kecil-kecil.
2. Untuk dapatkan santan, guna air rebusan ayam untuk perahan kelapa menggantikan air biasa.
3. Satukan mangga, betik, bahan tumbuk, hirisan ayam, ikan tumbuk, kerisik, garam dan santan ke dalam satu bekas. Gaul sehingga rata dan sebati. Rasai garamnya dan boleh dihidangkan.

note: kerabu ni memang sedap bila dimasukkan kaki ayam dam mempedal. Bila tergigit tang hirisan kaki ayam dan mempedal,dia rasa kenyal-kenyal sikit, kombain dengan betik mengkal dan mangga muda ang rangup memang ngammm.

APAM NENAS



Bahan-bahan
2 biji telur
1 cawan gula
1 sudu kecil ovallete
2 sudu esen nenas
1 cawan bancuhan susu tepung
2 cawan self raising flour ayak terlebih dahulu
3 sudu Jem nenas
Kelapa parut yang digaul dengan sedikit garam
pewarna yg disukai.

Cara.
1.Panaskan pengukus
2. Pukul telur, gula, esen nenas dan ovallete hingga kembang dan berwarna putih.
3. Masukkan bancuhan susu dan jem nenas, gaul sebati
4. Masukkan tepung,sebatikan
5. Bahagikan adunan kpd 2 bahagian mengikut warna yg disukai. Akak cuba masukkan sedikit coklat powder dan perisa coklat untuk satu bahagian yang lain.( Rupanya yang coklat ni yang digemari anak-anak)
6. Masukkan separuh adunan dalam acuan, kemudian masukkan sedikit kelapa parut,dan masukkan lagi adunan ke atas kelapa parut tadi sampai penuh.
7.Kukus selama 10-15 minit.

Thursday, April 9, 2009

SAMBAL IKAN



SAMBAL IKAN
Resepi tradisi makanan kelantan

Bahan-bahannya
4 ekor ikan kembung~dibersihkan dan dibakar, diambil isinya
Daun gelugor ~dilayur di atas api sehingga layu ( boleh juga digunakan buah mangga muda( ini yang paling sedap),air limau purut, buah cermai,atau buah2an lain yang masam apple misalnya
10 biji cili api ( kalau nak lagi pedas boleh tambah)
Garam secukup rasa( biar masin sikit sbb nak cicah dengan ulam)

Cara membuatnya
1. tumbuk cili api hingga lumat
2. Masukkan daun gelugor, tumbuk sehingga lumat
3. Masukkan isi ikan dan ditumbuk sehingga lumat. Gaul rata dan hidangkan dengan kacang dan timun.
4. Ia juga sesuai dicicah dengan kerdas.

KARI TERUNG


Bahan-bahannya
Terung~dibelah dua jangan putus
Santan
Garam secukupnya
Sedikit minyak untuk menumis
1 keping asam keping
1 kuntum bunga lawang
1 batang kayu manis
3 biji pelaga hindi
3 kuntum bunga cengkih
1/2 paket rempah kari daging
1/2 paket rempa kari ikan

Bahan Kisar
5 ulas bawang putih
4 ulas bawang merah
10 biji cili kering~direndam terlebih dahulu
1 1/2 inci lengkuas
1 1/2 inci kunyit
2 inci halia

Cara membuatnya
1. Tumis Bunga lawang, pelaga hindi, bunga cengkih dan kayu manis sehingga naik bau
2. Masukkan bahan kisar, rempah kari, asam keping,garam dan kacau sehingga garing
3. Masukkan santan dan dikacau hingga mendidih
4. Bila kuah sudah sebati , masukkan terung dan dikacau sebentar.
5. Bila terung sudah masak, angkat dan hidangkan.

KERABU PERUT



BAHAN
Perut~dibersihkan dan direbus hingga empuk, ketepikan
Santan pekat
Perahan air limau nipis
Garam scukup rasa
Kerisek~dikisar berasingan

Bahan kisar
4 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
Sejemput lada hitam
Sejemput udang kering~direndam, dibersihkan

Ulam-ulaman

Semua jenis ulam boleh dimasukkan
Timun,
Kobis
Daun kesom
Pucuk mangga
Bunga kantan
1 Labu bawang merah
Kesemua diracik halus

Cara membuatnya

1. Sediakan mangkuk besar
2. Satukan santan bersama bahan kisar, kerisek dan garam
3. Masukkan perut dan gaul sebati
4. Masukkan ulaman dan digaul sebati
5. Masukkan perahan air limau nipis. Gaul biar rata dan boleh dihidangkan.

MASAK LEMAK UDANG BERSAMA NENAS.



Bahan-bahannya

Udang
nenas~dipotong dan direbus. Perahkan airnya. ketepikan
Santan
Garam secukup rasa
1 keping asam gelugor.

Bahan Kisar
5 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
10 biji cili kering~direndam terlebih dahulu
1 1/2 inci lengkuas
1 1/2 inci kunyit hidup
Sejemput ketumbar biji

Cara Membuatnya

1. Masak santan bersama bahan kisar, asam keping,garam dan dikacau selalu supaya tidak berketul
2. Bila sudah mendidih, masukkan udang, kacau dan biarkan seketika
3. Bila udang sudah masak dan kuah sudah mula sedikit surut, masukkan nenas. Kacau sebentar
4 .Rasai garamnya dan angkat.

GULAI PUTIH @ GULAI BUKU BESAR



BAHAN-BAHAN~sukatan anggaran aje

1 1/2 kilo Daging~ potong besar ( supaya mudah empuk dan masak aye potong nipis)
Santan dari 1 1/2 biji kelapa ~ asingkan kemancar dan santan pekat.
garam secukup rsa
gula ikut suka
air limau nipis
3 biji kentang~dikupas kulit dan dipotong empat - nak masukkan banyak pun boleh

Bahan Tumis
3 labu bawang besar- dimayang
5 ulas bawang putih- dimayang
3 kuntum pelaga hindi
2 kuntum bunga lawang
1 potong kulit kayu manis
4 kuntum bunga cengkih
1 paket rempah kurma-dicampur sedikit air.
minyak untuk menumis

Cara membuatnya
1. Tumis bahan tumisan hingga layu dan bangkit baunya.
2. Masukkan rempah kurma, ditumis hingga garing.
3. Masukkan daging, kacau rata, tutup periuk dan biarkan seketika.
4. Masukkan santan kemancar. Biarkan sehingga daging empuk.
5. Masukkan santan pekat, garam, gula ( gulai ini sedikit manis, tapi terpulang pada cita rasa kengkawanlahhhh) dan kentang.
6. Masak sehingga kuah pekat dan daging benar-benar empuk ( tapi jangan sampai daging hancur)
7. Sebelum angkat, perahkan air limau nipis. Kacau rata dan angkat

MASAK LEMAK REBUNG BERSAMA PERUT



Bahan-bahannya

1 perdu rebung segar ~ dicincang halus dan direbus
1/2 kilo perut lembu ~ dihiris nipis dan 3 inci panjang >>direbus hingga masak
santan dari 1 biji kelapa
asam keping
garam secukupnya
sedikit gula~tak nak masuk pun tak ape.

Bahan untuk diblend

5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
9 biji cili kering
1 1/2 inci kunyit( kunyit serbuk pun boleh )
1 inci lengkuas
2 batang serai
sejemput biji ketumbar
sejemput udang kering ~direndam hingga lembut
1 biji tomato
2 biji cili merah
7 biji cili api ( kurangkan jika tak nak pedas )

Cara Penyediaannya
:~ Dalam periuk, satukan santan, bahan yang diblend dan asam keping, masak hingga kuah mendidih.
~Masukkan garam, rebung dan perut yang telah direbus. Masak hingga sedikit pekat dan keluar minyak. Boleh dihidangkan bersama nasi, sambal belacan+ ulam dan ikan kering.Boleh juga dimakan dengan roti (kalau dah tak ada nasi)

SAMBAL BELACAN SPECIAL


CARA PENYEDIAAN

1. Cili api+cili merah+cili hijau+cili kering yang telah direndam dengan air panas+ bawang merah yang dibakar+bawang putih yang dibakar+ belacan yang dibakar+sejemput bawang merah goreng+sejemput bawang putih goreng+sejemput bawang besar goreng~kesemuanya ditumbuk separuh lumat.

2. Masukkan garam + gula+ hirisan nenas masak( 1/2 ditumbuk separuh lumat)

3. Masukkan air perahan limau kasturi/limau nipis+hirisan belimbing buluh.

SINGGANG DAGING


BAHAN
1/2 kilo Daging(dihiris nipis), sedikit tulang, sedikit daging berlemak.
8 ulas bawang merah~dimayang
5 ulas bawang putih~dimayang
2 inci halia~dimayang
1 1/2 inci lengkuas~dimayang
sejemput ketumbar biji~ditumbuk separuh lumat
6 biji cili kering~dipotong,dibersihkan dan direndam dengan air panas.
sedikit gula manisan/gula melaka( lebih kurang 1/2 keping)
1 keping asam keping gelugur.
garam secukup rasa
air untuk kuah.

Cara membuatnya.

1. Tenggekkan periuk berisi air anggaran cukup untuk daging 1/2 kilo di atas api.
2. Masukkan bahan2 yang dimayang, ketumbar, asam keping, daging, tulang dan daging berlemak.
3. Biarkan kuah mendidih sehingga daging dan tulang empuk.
4. Masukkan cili yang telah direndam, garam dan gula melaka. Biarkan semua bahan mesra.
5. Rasai garamnya dan bolehlah diangkat.

ROTI JALA


Cara:

1 KILO TEPUNG GANDUM+ 1 CAWAN SUSU TEPUNG+2 BIJI TELUR+SEDIKIT GARAM+AIR SECUKUPNYA ~KIRAI TEPUNG DI DALAM KUALI UMPAMA JALA.

Sedap dimakan bersama dengan kari ayam atau kari daging atau gulai daging bumbang nyiorr.

GULAI DAGING BUMBANG NYIOR




Bahan-bahan:

Bumbang nyior dari 1 biji kelapa muda~dibelah, dipotong dan dihiris nipis bumbangnya yang lembut.
( direbus sehingga masak dan toskan)
1 kilo daging ~dipotong nipis atau ikut suka
5 ulas bawang merah ~diblend
5 ulas bawang putih ~diblend
1 inci kunyit ~ diblend
1 1/2 inci halia ~ diblend
1 inci lengkuas ~ diblend
10 biji cili kering ~ diblend
1 paket rempah kari
4 kuntum bunga cengkih
1 batang kayu manis
3 kuntum pelaga hindi
1 kuntum bunga lawang.
minyak untuk menumis
santan dari 1 biji kelapa
garam secukup rasa
sedikit gula
1 keping asam gelugor



Cara Penyediaannya

1. Tumis bunga lawang,bunga cengkih, kulit kayu manis dan pelaga hindi sehingga naik bau. Masukkan bahan yang diblend dan rempah kari. Tumis sehingga garing.
2. Masukkan daging dan digaul sebati. Biarkan seketika sehingga daging layu. Masukkan kemancar santan dan asam keping dan biarkan daging empuk
3. Masukkan santan, garam, sedikit gula dan bumbang nyior. Biarkan kuah sedikit pekat dan naik minyak. Angkat dan hidangkan bersama nasi atau roti jala
P/S
Bumbang nyior boleh digantikan dengan ubi kentang, buah ara, ubi keling,nangka atau keladi

Sunday, April 5, 2009

KEK COKLAT BLUEBERRY VERSI KAK JIE JIE





Bahan
250gm butter
4 biji telur
2 cawan gula aising
1 sudu besar ovelett
2 cawan tepung gandum
2 cawan serbuk koko
2 sudu teh esen vanilla
1 sudu besar baking powder
1 cawan bancuhan susu tepung ( 4 sudu besar susu tepung)

Cara:
1. Pukul butter,ovelett dan gula aising hinggá kembang dan putih
2. Masukkan telur sebiji demi sebiji, pukul
3. Masukkan esen vanila dan pukul
4. Masukkan air bancuhan susu sedikit demi sedikit, pukul
5. Masukkan kedua-dua tepung bersama baking powder yang telah
diayak bersama sedikit demi sedikit. Kaub balikkan hingga sebati.
6. Masukkan ke dalam acuan 4 persegi yang telah disapu dengan mentega. Bakar dan sejukkan

Topping
Krim putar
Bunga
hirisan badam~dipanggang
manik2 gula

Layer
Krim putar
blueberry filling

Cara Untuk layer

1. Pukulkan sedikit krim putar. Sekejap aje. Mungkin satu putaran. Kalau lama putar, krim putar akan jadi keras.
2. Gaulkan bersama dengan blueberry filling. Ketepikan
3. Kek coklat yang dah sejuk, dipotong tengah.Ketepikan bahagian atas
4. Sapukan blueberry filling tadi setebal 1 inci atau lebih
5. Tutupkan filling dengan bahagian atas kek coklat tadi.

Untuk deco/topping
1. Pukul krim putar biar lama sikit, agar krim putar nanti menjadi keras.
2. Sapukan krim putar keseluruhan kek
3. Tekapkan hirisan badam di sekeliling kek.
4. Hias kek dengan bunga atau ape saja deco. Tabur sedikit manik2 gula agar timbul serinya.
5. Sudah selesai sejukkan di dalam peti sejuk.
nota:
Apa yang akak buat, dah siap deco akak masukkan terus ke dalam kotak dan sejukkan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...